Wang KWSP harta rakyat, bukan rizab kerajaan

Wang KWSP harta rakyat, bukan rizab kerajaan

Aiman Hanif

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan kerajaan bahawa simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah “harta rakyat” bukannya rizab negara.

Oleh itu katanya, rakyat mempunyai hak ke atas wang yang dicarum dan perkara itu telah dijamin dalam  Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan patut benarkan pencarum KWSP keluarkan wang daripada Akaun 1 mereka sehingga RM10,000 secara sekali gus, kerana itu duit tabungan mereka sendiri.

“Mereka bukan mahu keluarkan semua, sekurang-kurangnya dengan jumlah berkenaan mereka dapat memulakan ikhtiar baharu meneruskan hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, undang-undang yang mengawal operasi KWSP tidak boleh mengatasi perlembagaan dengan Perkara 13 menjamin hak rakyat terhadap harta dan wang ringgit mereka.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Rabu lalu ketika membahaskan isu Belanjawan 2021 meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pencarum mengeluarkan caruman akaun 1 KWSP.

Najib berkata, ia adalah sebagai syarat kepada sokongan BN terhadap Belanjawan 2021.- Malaysiapost