Anwar pertahan tindakan mengadap Agong selepas yakin dapat sokongan

Anwar pertahan tindakan mengadap Agong selepas yakin dapat sokongan

TAK munasabah gunakan ruang sehingga mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan tidak yakin dengan jumlah sokongan Ahli Parlimen, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Merungkai isu sokongan ‘strong, formidable, convincing’, Anwar berkata, beliau memutuskan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana yakin dengan jumlah dan dukungan Ahli Parlimen daripada parti politik yang terlibat.

“Memang itulah kenyatannya dan proses itu berjalan.

“Tak mungkin dan tak munasabah saya gunakan ruang sehingga mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan yang saya tidak yakin dengan jumlah itu,” katanya dalam temubual khas bersama Malaysia Gazette.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu berkata, beliau menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan perkara itu bagi memastikan beberapa pertimbangan dibuat.

“Jadi saya hormat dan InsyaAllah akan dapat diluruskan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mengadap Yang di-Pertuan Agong juga bukan soal dirinya mahu menjadi Perdana Menteri, sebaliknya beliau dicalokan oleh parti-parti.

“Keduanya, pada pilihan raya 2018, itu diketengahkan (calon Perdana Menteri) PM sementara transisi Tun Dr Mahathir (Mohamad) kemudian Anwar Ibrahim… dan kita menang.

“Jadi itu yang harus diketahui, bukannya perkara ini baru berkembang minggu lalu atau bulan lalu seperti didakwa,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Anwar mencetuskan kontroversi apabila mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk mempersembahkan sokongan yang diterimanya daripada Ahli Parlimen pelbagai parti politik untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut mendakwa bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah jatuh. – Malaysiapost

Komen