Bapa tiri setan ditahan polis

Bapa tiri setan ditahan polis

SEORANG lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan perlakuan amang seksual ke atas tiga anak tirinya di sebuah rumah di Bandar Baru Selayang antara Februari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang ditemani oleh abang dan ibu saudaranya semalam.

“Mangsa mendakwa, bapa tirinya sering melakukan perbuatan tidak bermoral itu ketika ibu mereka sedang tidur atau tiada di rumah malah mangsa turut diugut oleh lelaki berkenaan agar tidak memberitahu tentang kejadian kepada sesiapa.

“Kejadian turut melibatkan dua lagi kakak kepada mangsa yang berusia 15 dan 20 tahun, di mana mangsa berusia 20 tahun adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, mangsa hanya membuat laporan selepas abang serta ibu saudara mangsa mengetahui mengenai kejadian itu.

“Mereka membawa mangsa membuat laporan polis dan ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan perubatan.

“Kira-kira jam 12.40 pagi tadi, suspek berusia 52 tahun telah ditangkap di sekitar kawasan Selayang dan telah dibawa ke Mahkamah Selayang pada jam 9.30 pagi tadi untuk mendapatkan permohonan reman.

“Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari ke atas suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. -Malaysiapost