Covid-19: 3 kluster baharu dikesan, 1 kluster tamat

Covid-19: 3 kluster baharu dikesan, 1 kluster tamat

Fitri Nizam

TERDAPAT tiga kluster baharu dikesan hari ini membabitkan Sabah dan Johor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dua daripada kluster baharu itu dikesan di Sabah iaitu Kluster Plaza dan Kluster Jalan Kalabakan.

Katanya, kedua-dua kluster itu membabitkan 14 kes baharu.

“Kluster Plaza membabitkan daerah Kota Kinabalu. Sejumlah 19 individu telah disaring 12 daripadanya positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu.

“Sementara itu, Kluster Jalan Kalabakan dikesan di daerah Tawau membabitkan 22 individu yang disaring kesemua mereka sah positif Covid-19 termasuk tiga kes baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di Johor terdapat satu kluster baharu dikesan iaitu Kluster Jeri yang membabitkan daerah Kota Tinggi, Mersing dan Muar.

“Setakat ini 1,170 orang sudah disaring dengan 26 daripadanya positif Covid-19, 535 negatif manakala 609 masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa, Kluster Bah Arnab telah tamat pada hari ini.

Kluster ini melibatkan daerah Kuching di Sarawak.

“Sehingga hari ini, seramai 72 individu telah disaring di mana 12 kes dikesan positif Covid-19 manakala 60 individu lagi adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen