Covid-19: Hampir 100 peratus warga STIAS pulih

Covid-19: Hampir 100 peratus warga STIAS pulih

HAMPIR 100 peratus kakitangan dan pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang, Negeri Sembilan yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini sudah pulih sepenuhnya.

Hanya seorang guru sahaja dari sekolah itu yang masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Pengerusi Pengelolanya, Abdullah Abdol Razak, berkata pelajar, guru dan warga kerja STIAS yang lain sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari pusat kuarantin serta hospital.

“Hampir semua warga Sekolah Tinggi Islam As Sofa sudah pulih daripada pandemik Covid-19. Hanya seorang guru yang sedang menerima rawatan dan di HTJ.

“Kami mendoakan beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan segera sembuh seterusnya dapat meneruskan pengajian serta pembelajaran seperti sebelum ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, STIAS memaklumkan 99 warga sekolah itu disahkan negatif Covid-19 dalam ujian saringan kedua dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan discaj daripada Hospital Rembau serta HTJ.

Pihak sekolah juga sudah menjalankan proses sanitasi di bangunan dan seluruh kawasan sekolah sebelum dibuka semula kelak. -Malaysiapost

Komen