Ingkar PKP: 568 individu kena tahan

Ingkar PKP: 568 individu kena tahan

Fitri Nizam

SERAMAI 568 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, termasuk 131 yang mengunjungi pusat hiburan.

Daripada jumlah itu, seramai 516 individu dikompaun manakala 49 direman dan tiga lagi dibebaskan dengan jaminan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah kesalahan tertinggi yang dikenakan kompaun adalah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal iaitu sebanyak 160 kes.

“Aktiviti di pusat hiburan pula mendapati terdapat 131 kes, tidak memakai pelitup muka (116), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (43) dan lain-lain (62),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 51,245 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,471 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,875 anggota telah membuat pemantauan di 3,547 pasar raya, 4,815 restoran serta 1,306 penjaja, 1,225 kilang, 3,240 bank dan 507 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,000 terminal pengangkutan darat, 238 terminal pengangkutan air serta 81 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng telah berjaya menahan 42 pati.

“Sebanyak 250 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan ATM (185), PDRM (56) dan AKSEM (9),” katanya. – Malaysiapost

Komen