Jenazah Zaleha selamat dikebumikan

Jenazah Zaleha selamat dikebumikan

JENAZAH Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota dekat Setapak, Kuala Lumpur jam 11 pagi, hari ini.

Seramai 20 ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan masuk ke persekitaran tanah perkuburan itu, di mana turut kelihat menziarahi adalah bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, rakan-rakan terdekat, keluarga dan jiran tetangga.

Shahrizat ketika ditemui, menyifatkan arwah adalah sumber inspirasi di dalam dunia politik.

“Allahyarhamah, kita sapa sebagai Kak Leha, adalah sumber inspirasi, ketika itu dia adalah ibu dan kakak kami.

“Kak Leha adalah lagenda dan ikon dalam Wanita Umno, ligat ketika perjuangannya, apa sahaja yang dipimpin pasti akan berjaya, ini menunjukkan keikhlasan perjuangan beliau,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, jenazahnya dibawa dari Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati selepas disembahyangkan.

Zaleha, 84, meninggal dunia pada jam 8.15 malam tadi kerana mengalami pelbagai komplikasi kesihatan.

Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta. -Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

Komen