Kanak-kanak maut tertusuk pisau

Kanak-kanak maut tertusuk pisau

SEORANG kanak-kanak lelaki dilaporkan maut akibat tertusuk pisau di Taman Cempaka, Sitiawan, Perak, kelmarin.

Dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa, J Adithiyan, 7, dilaporkan tertusuk pisau di dada ketika berada di rumah ibu saudaranya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan berlari masuk ke dalam rumah dan terlanggar sepupunya berusia 11 tahun yang sedang memegang pisau dan secara tidak sengaja tertusuk pisau di dada.

Harian Metro melaporkan mangsa yang dibawa ke Hospital Seri Manjung kemudian disahkan meninggal dunia.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan proses bedah siasat dijalankan hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya juga masih menunggu laporan penuh kes berkenaan.-Malaysiapost