Kepentingan negara atasi perseteruan dengan Tun M – Anwar

Kepentingan negara atasi perseteruan dengan Tun M – Anwar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sebelum ini sanggup mengetepikan ‘perseteruan’ dengan Tun Dr Mahathir Mohamad demi menyelamatkan negara.

Ketua Pembangkang itu berkata, sebagai seorang manusia beliau mengakui ada rasa sakit hati, tersinggung dan tercuit dengan bekas Perdana Menteri itu namun diketepikan demi negara.

“Rasa sakit hati, tersinggung dan tercuit ada tetapi kepentingan negara mengatasi,” katanya dalam temubual khas bersama Malaysia Gazette.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau terpaksa mengambil jalan sendiri selepas berulang kali dikhianati.

“Kalau duk (kerap) ulang, ulang, ulang konspirasi dan khianat tak bolehlah.

“Pada saya sekarang tak apalah, biarlah… jadi saya jalan ikut jalan saya,” katanya.

Menjawab persoalan bahawa Dr Mahathir mengambil beliau masuk ke dunia politik ketika dirinya tiada apa-apa, Anwar menyifatkan ia hanya kenyataan politik.

“Saya masa itu bukan saja dalam negara malah di peringkat antarabangsa. Saya pernah jadi Ahli Jawatankuasa World Assembly of Youth (WAY), Penasihat ad-hoc kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wakil Angkatan Belia Islam Asia Pasifik dan Gerakan Belia Islam Sedunia.

“Jadi ada peranan saya masa itu yang saya sudah dikenali, jadi dia (Dr Mahathir) ambil saya ucap terima kasih. Memang benar dia bagi ruang.

“Tapi kalau kata tak ada apa-apa dari debu diangkat tak apalah itu kenyataan politik,” katanya. -Malaysiapost

Komen