Lantik 2,500 peruncit, pemborong untuk simpan stok banjir

Lantik 2,500 peruncit, pemborong untuk simpan stok banjir

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melantik kira-kira 2,500 peruncit dan pemborong untuk menyimpan barangan keperluan asas tambahan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, peruncit dan pemborong yang terpilih itu akan menyediakan stok barang melebihi kadar biasa iaitu sehingga 30 peratus tambahan.

“Sebagai contoh, kebiasaannya mereka boleh simpan stok barang sebanyak 80 peratus, jadi apabila musim tengkujuh, kita benarkan mereka ini tambah lagi 30 peratus untuk setiap masa supaya bekalan keperluan asas sentiasa mencukupi.

“Ia sebahagian pelan kontinjensi bagi menghadapi fenomena bencana alam di negara ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Rosol turut memberi jaminan barangan keperluan asas mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang musim tengkujuh dengan usaha ke arah itu digerakkan secara bersama dengan beberapa kementerian yang berkaitan.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu ketika turut melakukan lawatan ke pusat penternakan ayam Kemat Ternak Maju di Ajil, Hulu Terengganu di sini hari ini memaklumkan bekalan ayam di Terengganu mencukupi.

“Sebagai contoh, kapasiti di pusat penternakan ini mampu menempatkan 21,000 ekor ayam. Ini belum termasuk bekalan daripada penternak lain, malah bekalan telur dan makanan asasi lain juga sedia diedarkan apabila diperlukan,” katanya. -Malaysiapost

Komen