Lebih 9,000 hilang kerja di Selangor

Lebih 9,000 hilang kerja di Selangor

SERAMAI 9,423 individu hilang pekerjaan di Selangor sepanjang tempoh Januari sehingga September lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata jumlah itu direkodkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor dan ia merangkumi lima peratus tenaga pekerja di seluruh negeri itu.

“Justeru, kita menyasarkan untuk menurunkan kadar pengangguran sebanyak 0.5 peratus daripada 9,423 individu yang kehilangan kerja ini.

“Dua program iaitu Jelajah Selangor Bekerja 2020 dan Insentif Roda Darul (RiDE) diharap dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan pendapatan,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Sementara itu, beliau berkata seramai 9,969 individu telah memohon pekerjaan sehingga 15 September lalu menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2020.

Katanya, sebanyak 20 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk sektor logistik, peruncitan, perkhidmatan dan lain-lain yang terbabit dalam jelajah itu.

“Jelajah ini akan diadakan di tiga daerah lagi di Gombak, Petaling dan Hulu Langat, bermula hari ini sehingga 29 November.

“Walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda, kerajaan Selangor akan terus menganjurkan Jelajah Selangor Bekerja 2020 untuk membantu rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Komen