Saya hormati Najib tetapi tetap tidak bersetuju – Ahmad Fadhli

Saya hormati Najib tetapi tetap tidak bersetuju – Ahmad Fadhli

Muhammad Mustakim Ramli

SAYA akui Datuk Seri Najib Razak adalah pejuang tetapi saya tetap tidak bersetuju meletakan syarat Belanjawan 2021, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata, ramai yang memberi respon terhadap ucapan beliau di Parlimen dengan ada yang bersetuju dan ramai juga tidak bersetuju.

Katanya, ada juga yang mengheret ia seolah-olah menjadi pertembungan PAS dan Umno.

“Berhubung Najib, saya tetap akui beliau seorang pejuang. Kes-kes mahkamah yang dihadapi dilawannya di mahkamah tanpa berusaha untuk digugurkan (setakat yang saya tahu) kerana beliau kelihatan yakin dengan kebenarannya.

“Berjuang dengan fakta dan analisisnya. Pandangannya berhubung ekonomi sudah pasti melalui pengalamannya yang luas. Isu KWSP dan moratorium, pandangan beliau ada asas.

“Saya juga mempunyai pandangan, berdasarkan kajian rakan-rakan yang lebih arif. Soal pandangan siapa yang akan dipakai oleh kerajaan, itu terpulang kepada kerajaan. Dan saya yakin, apa jua keputusan nanti, ia untuk rakyat dan mengambil kira semua kepentingan.

“Najib tetap saya hormati, dan pendiriannya meletakkan syarat untuk menyokong Belanjawan 2021, tetap saya tidak setuju,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Fadhli berkata, beliau berpandangan bajet itu di dalamnya mengandungi wang untuk rakyat, frontliner, bayaran gaji, pelbagai peruntukan dan lain-lain.

Katanya, jika tidak bermula Januari 2021, semua perbelanjaan akan tergendala dan isu kepentingan rakyat yang lain yang tidak tertakluk dalam bajet boleh diminta kepada kerajaan untuk mengkaji serta diumumkan dalam pelbagai pakej yang boleh dibuat selepas ini.

“Dalam hal itu sahaja saya tidak bersetuju. Dan kerana itulah timbulnya contoh syarat Puteri dari gunung itu. Saya tidak bermaksud menyindir. Dan saya menyebutnya dengan penuh hormat.

“Jika ia mengguris, saya mohon maaf. Tetapi saya cuma bertujuan menyampaikan maksud dengan jelas. Najib bagi saya tetap seorang pejuang. Tidak ada apa-apa mengurangkan hormat saya kepada beliau.

“Dan isu ini, sudah tentu tidak sepatutnya diheret menjadi pertembungan Umno – PAS. Jika ia berlaku, yang rugi nanti bukan sahaja kedua-duanya, tetapi rakyat,” katanya.

Beliau juga kekal menghormati hubungan Umno – PAS dan menyokong Belanjawan 2021 tanpa syarat, dan menyeru semua Ahli Parlimen yang berada di blok kerajaan untuk turut menyokong bajet itu tanpa syarat.

“Bukan kerana bajet ini sempurna, tetapi itulah yang terbaik untuk memastikan kestabilan negara.

“Jika anda bersetuju dengan saya, jauhilah komen-komen yang boleh membawa retaknya hubungan PAS – Umno – Bersatu. Dan sudah pasti saya tidak boleh menghalang komen yang tidak bersetuju dengan saya,” katanya.-Malaysiapost