Tetap bayar gaji penjawat awam jika Belanjawan ditolak

Tetap bayar gaji penjawat awam jika Belanjawan ditolak

GAJI penjawat awam masih boleh dibayar walaupun Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat, kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata, Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk tidak menyokong belanjawan itu jika cadangan mereka tidak diterima, dan aspirasi pengundi tidak dipenuhi.

Bercakap dalam program Jom Channel semalam, Haniff berkata jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tewas dalam undian itu, katanya, ia bermakna dia tidak lagi memiliki sokongan di Dewan Rakyat.

“Ia menyebabkan Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri dan Kabinet yang baru, yang perlu membentangkan belanjawan baru dengan segera,” katanya.

Haniff berkata, berdasarkan Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan kerajaan baru itu boleh membentangkan belanjawan untuk suku pertama sahaja, merangkumi hal-hal penting seperti pembayaran gaji dan dana untuk berdepan Covid-19.

“Belanjawan penuh pula boleh dibentang kemudian. Menurut Perkara 102, jika dalam keadaan ‘yang luar biasa keterdesakannya’, Parlimen boleh membenarkan perbelanjaan bagi ‘sebahagian’ tahun kewangan sehinggalah Rang Undang-undang Perbekalan diluluskan.

“Maka orang awam tak perlu anggap jika Ahli Parlimen tidak menyokong belanjawan, jika cadangan mereka ditolak, yang mereka tidak mengutamakan negara,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi peringatan bahawa gaji penjawat awam, pekerja kesihatan dan agihan wang tunai akan tertangguh jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.-Malaysiapost