Akaun 1 KWSP: Najib sambut baik tapi masih bimbang

Akaun 1 KWSP: Najib sambut baik tapi masih bimbang

Fitri Nizam

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyambut baik pengumuman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang membenarkan pengeluaran 10 peratus daripada Akaun 1.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan kerana jumlah pencarum yang layak dianggarkan hanyalah dua juta orang saja.

Katanya, jumlah itu amat berbeza dengan penerima skim i-Lestari yang mencecah 4.7 juta pencarum.

“Mungkin perlu sedikit pencerahan bagi isu ini sebab syarat hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

“Bagaimana pula dengan mereka yang pendapatan bulanan yang telah turun tetapi tidak hilang kerja,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Pada hantaran itu, Najib turut memperjelaskan pengumuman KWSP berhubung kebenaran pengeluaran Akaun 1 terbabit.

  1. Bayaran pertama ‘lump sum’ sehingga RM4,000 bagi mereka dengan baki Akaun 1 sebanyak RM90,000 dan ke bawah. Baki RM5,000 (menjadi jumlah keseluruhan pengeluaran RM9,000) dibayar secara ansuran bulanan.
  2. Bayaran pertama ‘lump sum’ sehingga RM10,000 bagi mereka dengan baki Akaun 1 sebanyak RM90,000 dan ke atas. Jumlah pengeluaran dibenarkan ialah 10 peratus daripada Akaun 1 (sehingga RM60,000) dan dibayar secara ansuran bulanan.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mengajak rakan di Facebook untuk menunggu keputusan lanjutan moratorium pinjaman secara automatik dan secara pukal. – Malaysiapost

Komen