Habeas corpus Alvin Goh ditolak

Habeas corpus Alvin Goh ditolak

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, menolak permohonan habeas corpus ahli perniagaan, Alvin Goh, bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid, selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti bersama peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram serta Gobind Singh, bagi pihak Alvin Goh atau nama sebenarnya, Goh Leong Yeong.

“Selepas meneliti hujahan bertulis dikemukakan pemohon dan responden, saya bersetuju dengan responden dan menolak permohonan ini (habes corpus),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Muhammad Sinti ketika ditemui media, berkata Alvin Goh kini ditahan selama 38 hari mengikut POCA 1959, selepas tamat tempoh penahanan 21 hari.

“Penahanan 38 hari itu dijangka tamat pada 20 Disember ini,” katanya.

Alvin Goh, 32, memfailkan permohonan itu melalui notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November lalu, melalui Tetuan TY Teh & Partners.

Beliau menamakan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan; seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, beliau memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lalu bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(a) POCA 1959 pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur serta bersifat mala fide (berniat jahat).

Lelaki itu juga memohon perintah bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari hingga 21 November ini di bawah POCA 1959 adalah tidak sah.

Turut dimohon perintah bahawa kemasukan perenggan 5, Bahagian 1, Jadual 1 bawah POCA bahawa semua orang yang terbabit dalam pengelolaan dan penggalakan judi haram sebagai kategori yang boleh didaftarkan, adalah ultra vires dan di luar ruang lingkup atau skop akta berkenaan. – Malaysiapost

Komen