i-Sinar untuk 2 juta ahli KWSP

i-Sinar untuk 2 juta ahli KWSP

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas disebabkan kehilangan pekerjaan, cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan boleh memohon pendahuluan hingga RM60,000 daripada Akaun 1.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil langkah memperluaskan skop i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak.

Justeru, dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli yang layak membuat permohonan berkenaan.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1 tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000, manakala ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1) akan mempunyai akses 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020.

“Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

“Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula tarikh pertama pengkreditan,” katanya.

Bagaimanapun, KWSP berkata, ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.

Katanya, caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.

“Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” katanya. – Malaysiapost

Komen