Jangan persenda nasib peniaga kecil

Jangan persenda nasib peniaga kecil

AHLI Parlimen Seputeh, Teresa Kok disifatkan sebagai tidak prihatin terhadap nasib peniaga kecil yang terjejas teruk ketika ini, susulan tindakannya mempersoalkan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga.

Menteri Perumahan dan KerajaanTempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kesukaran hidup peniaga kecil dan penjaja tidak sepatutnya dipersendakan kerana itu adalah mata pencarian mereka.

“Daripada terus menentang dengan kenyataan tidak berasas, Teresa Kok dan Ahli Parlimen lain sepatutnya menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dalam keadaan negara masih dilanda pandemik.

“Jadikan rakyat sebagai keutamaan sebelum berpolitik dalam keadaan genting sebegini,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, langkah kerajaan itu membolehkan peniaga kecil meneruskan kegiatan ekonomi walaupun berdepan pelbagai sekatan susulan pandemik Covid-19.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi mengurangkan beban dihadapi peniaga kecil ketika ini.

“Disebabkan itu saya terkejut apabila Teresa Kok membantah perkara ini di Dewan Rakyat sedangkan ia penting bagi membantu kelompok peniaga terjejas,” katanya.

Zuraida berkata, kenyataan Teresa adalah satu penghinaan kepada kerajaan Kelantan apabila mendakwa Wilayah Persekutuan akan menjadi seperti Ketereh, apabila peniaga dibenarkan membuka perniagaan masing-masing secara bebas.

“Ini bukan sahaja satu penghinaan kepada peniaga kecil, tetapi tempiasnya turut terkena kepada penjawat awam yang berkhidmat bagi kerajaan tempatan dan kerajaan negeri.

“Bercanggah dengan dakwaan Teresa Kok, cadangan itu membolehkan peniaga membuka gerai mereka mengikut syarat ditentukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan Wilayah Persekutuan akan menjadi Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula semalam.

Ia bertujuan meringankan beban rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan inisiatif itu dikhususkan kepada warganegara Malaysia sehingga 15 April tahun depan.

Khamis lalu, Teresa dalam sidang Parlimen berkata, konsep bebas berniaga diperkenalkan di Wilayah Persekutuan dianggap berbahaya kerana seolah-olah membuka pintu untuk menggalakkan orang ramai melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT). -Malaysiapost

Komen