Kerajaan kekang berita palsu melalui tindakan undang-undang

Kerajaan kekang berita palsu melalui tindakan undang-undang

[PARLIMEN] KERAJAAN akan terus menangani penyebaran berita palsu dengan usaha promosi dan tindakan undang-undang.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjelaskan langkah itu selari dengan matlamat kerajaan bagi memastikan rakyat mendapat berita dan laporan yang sah serta terkini.

“Sebarang berita palsu, laporan palsu dan penyalahgunaan media sosial ditangani melalui undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Ini dilakukan selepas berkuatkuasanya Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020 (Akta 852) yang baru diwartakan pada 30 Januari lalu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Jawapan itu dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon, selepas menteri dan timbalan menteri bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak dapat hadir pada sesi Dewan Rakyat kerana baru menjalani ujian calitan Covid-19.

Hang Soon menjelaskan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, membuat saringan Covid-19 lebih awal daripada tempoh diperuntukkan, namun keputusan yang diperoleh ialah negatif.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, pula dilaporkan mempunyai temu janji bersama doktor. -Malaysiapost

Foto Kredit: Suara Perak

Komen