Kerajaan Pahang umum Bantuan Prihatin Rakyat 2021

Kerajaan Pahang umum Bantuan Prihatin Rakyat 2021

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 sebagai tanda prihatin kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di negeri itu terjaga.

Bantuan itu termasuk golongan warga emas berumur 80 tahun ke atas akan menerima sumbangan secara sekali bayaran RM250 seorang membabitkan 2,054 orang dengan peruntukan RM513,500.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri memperuntukan RM8.493 juta kepada 33,973 Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut menerima secara sekali bayaran RM250 seorang.

“Bagi 3,014 penerima bantuan am kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri akan menaikkan kadar dari RM300 sebulan kepada RM350 sebulan dengan peruntukan tambahan RM1.808 juta.

“Bagi menghargai bakti imam kariah, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara sekali bayaran RM750 seorang kepada 1,032 imam seluruh Pahang dengan peruntukan RM774,000.

“Selain itu, tidak dilupakan juga jasa bilal dan siak, kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan secara sekali bayaran RM250 seorang yang membabitkan 888 bilal dan 889 siak di Pahang dengan jumlah peruntukan RM444,250,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketia Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Tambah beliau, sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan iaitu pemberian secara sekali bayaran RM100 ringgit kepada setiap pelajar, dalam usaha meringankan beban 24,000 pelajar sekolah bantuan penuh kerajaan yang bakal memasuki sesi persekolahan Tahun Satu pada 2021,

Katanya, tidak dilupakan kepada 543 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), 62 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKB) dan 70 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang banyak menyumbangkan bakti di peringkat akar umbi.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM250 secara sekali bayaran kepada setiap pengerusi dengan jumlah peruntukan RM168,750.

“Bagi meringankan kos sara hidup kumpulan B40, sumbangan secara sekali bayaran RM250 diperuntukkan kepada setiap peserta e-Kasih miskin tegar seramai 1,594 orang dengan peruntukkan RM398,500.

“Selain itu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM840,000 setahun untuk elaun tambahan guru al-Quran dan fardhu ain asrama kepada 350 orang pada kadar RM200 seorang mulai tahun depan.

“Elaun ini akan meningkat daripada RM800 kepada RM1,000 sebulan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk diagihkan kepada 89 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Pahang (Muip).

Selain itu, katanya, seramai 301 Tok Batin akan turut menerima sumbangan secara sekali bayaran RM250 ringgit seorang yang keseluruhan berjumlah RM75,250.

“Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian RM200 kepada pasangan yang berkahwin kali pertama pada tahun depan.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM10,000 untuk setiap 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti untuk memberikan latihan dan pemulihan kepada OKU dengan jumlah peruntukan RM520,000. -Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook Datuk Wan Rosdy bin Wan Ismail

Komen