KPT cadang tutup 5 pejabat pendidikan di luar negara

KPT cadang tutup 5 pejabat pendidikan di luar negara

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bercadang menutup lima pejabat Pendidikan Malaysia (EM) di luar negara, selari langkah rasionalisasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I, Datuk Dr Mansor Othman, berkata cadangan langkah penutupan itu membabitkan pejabat EM di Chicago, Los Angeles, New Zealand, Ho Chi Minh dan Perth.

Katanya, pejabat berkenaan didapati tidak lagi menyumbang kepada pertambahan penuntut antarabangsa ke Malaysia, geran penyelidikan atau sebarang peningkatan hasil kepada negara.

“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kerajaan menggariskan strategi untuk menyusun semula institusi sektor awam bagi mengurangkan pertindanan peranan dan tanggungjawab antara agensi ke arah mewujudkan sektor awam yang dinamik.

“Justeru, JPA melalui surat bertarikh 16 Mei 2019 menyatakan hasrat untuk melaksanakan rasionalisasi pejabat perwakilan dan wakil agensi kerajaan Malaysia di luar negara yang turut membabitkan pejabat EM,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mengenai status semasa rasionalisasi pejabat EM di luar negara. -Malaysiapost

Komen