Menteri Pendidikan ‘kabur’ timbulkan persoalan hala tuju pendidikan ketika Covid-19

Menteri Pendidikan ‘kabur’ timbulkan persoalan hala tuju pendidikan ketika Covid-19

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] MENTERI Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin perlu menjawab persoalan khususnya hala tuju pendidikan dalam berdepan pandemik Covid-19.

Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam), berkata sehingga hari ini menteri berkenaan dilihat kabur dalam membuat keputusan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan pendidik serta ibu bapa.

“Tiada perancangan rapi untuk menyelamatkan anak-anak yang jelas terjejas akibat Covid-19. Beberapa persoalan mustahak perlu dijawab seperti apa perancangan alternatif apabila berlaku ‘world case scenario’ yang tidak kita jangka.

“Jika Covid-19 berlanjutan hingga Mac 2021, adakah sekolah akan berterusan ditutup? Mengapa Menteri Pendidikan selepas lapan bulan tiada satu pun perbincangan dilakukan dengan pihak berkepentingan? seperti Kesatuan Guru NUTP atau Kesatuan Guru Malaysia Barat.

“NUTP sahaja mewakili 200,000 guru. Mengapa perjumpaan dengan mereka tidak dilakukan? Apakah Menteri Pendidikan juga mendengar pendapat pemegang taruh? Adakah nasihat dari Majlis Penasihat Pendidikan Malaysia juga didengari?,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Bekas Menteri Pendidikan juga mempersoalkan kenapa isu buka dan tutup sekolah tidak diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang juga membabitkan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).

“Mereka lebih maklum keadaan setempat mereka berbanding mereka yang berada di Putrajaya. Biarlah keputusan dibuat di peringkat mikro serta lokal dan bukannya di peringkat pusat.

“Ini semua menimbulkan keresahan dalam kalangan pemegang taruh. Apakah ‘master plan’ Menteri Pendidikan untuk atasi masalah Covid-19 ini? Adakah sekadar tutup sekolah di saat-saat akhir hingga timbul keresahan.

“Keputusan tutup sekolah tanpa ada alternatif untuk anak-anak terutama yang tiada capaian internet akan memusnahkan masa depan pendidikan anak-anak kita,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: NSTP

Komen