Pesakit Covid-19 lari dari hospital, ditemui di kaki lima kedai

Pesakit Covid-19 lari dari hospital, ditemui di kaki lima kedai

PESAKIT Covid-19 yang melarikan diri daripada Hospital Pulau Pinang (HPP), petang semalam telah ditemui di kawasan kaki lima deretan kedai di Bayan Lepas, Georgetown, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Difahamkan, lelaki warga tempatan berusia 23 tahun itu kemudiannya dibawa oleh sepasukan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian pelindungan peribadi (PPE) ke HPP semula.

Malah, lelaki tersebut dilaporkan berjalan kaki sejauh 25 kilometer dari HPP ke kawasan Bayan Lepas iaitu lokasi dia ditemukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, lelaki tersebut telah dibawa balik ke HPP untuk rawatan lanjut namun enggan mengulas lanjut.

Semalam, polis memburu seorang lelaki dipercayai pesakit yang disahkan positif Covid-19 yang melarikan diri daripada HPP.

Lelaki berasal dari Kepala Batas itu sedang dirawat di hospital berkenaan namun dikesan ‘hilang’ dipercayai telah melarikan diri dari wad kira-kira jam 3.20 petang.

Dia bagaimanapun tidak memakai gelang pengawasan berwarna merah jambu selepas meninggalkannya di atas katil di hospital. -Malaysiapost

Komen