Pesakit Covid-19 larikan diri dari Hospital, disahkan waras

Pesakit Covid-19 larikan diri dari Hospital, disahkan waras

LELAKI positif Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Pulau Pinang (HPP) Georgetown semalam, disahkan waras. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis akan menjalankan siasatan terhadapnya selepas dia selesai menjalani rawatan.

“Kita akan pastikan dia pulih terlebih dahulu sebelum mengambil keterangan.

“Dia akan disiasat atas kesalahan melarikan diri ketika menerima rawatan.

“Lelaki terbabit dalam keadaan waras namun siasatan hanya boleh dilakukan selepas dia selesai menjalani rawatan,” katanya. 

Soffian berkata, polis akan membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22B Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit 1998.

Menurutnya, kes terbabit akan diserah kepada timbalan pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya selepas lelaki itu selesai menjalani rawatan.

Semalam, lelaki berusia 23 tahun berkenaan didapati melarikan diri dari hospital pada jam 3.20 petang.

Dia kemudian ditemui orang awam pada jam 9 malam tadi di Bayan Lepas sebelum diserahkan kepada HPP.

Lelaki yang berasal dari Kepala Batas itu didapati tidak memakai gelang merah jambu selepas menanggalkan dan meninggalkannya di atas katil di hospital. -Malaysiapost

Komen