RM3 bilion untuk vaksin dalam perbelanjaan khas – KJ

RM3 bilion untuk vaksin dalam perbelanjaan khas – KJ

[PARLIMEN] PERUNTUKAN RM3 bilion yang diunjurkan untuk membiayai perolehan vaksin Covid-19, seawal suku pertama tahun depan akan dimasukkan dalam perbelanjaan khas, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy (BN-Rembau) berkata keperluan untuk mendapatkan ‘penawar’ wabak berkenaan akan diperuntukkan dalam Kumpulan Wang Covid-19.

“Butiran ini sebenarnya akan dijelaskan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dalam sesi penggulungan, namun ingin dimaklumkan bahawa RM3 bilion adalah anggaran.

“Ini dibuat berdasarkan unjuran harga yang ditawarkan kepada negara-negara, jadi kita tidak dapat nak beri suatu anggaran tepat pada masa ini.

“Keperluan mendapatkan vaksin ini akan dimasukkan dalam Kumpulan Wang Covid-19. Suatu perbelanjaan khas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu peruntukan untuk vaksin Covid-19 menjadi tumpuan Ahli Parlimen yang berbahas minggu lalu kerana tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2021. -Malaysiapost

Komen