Suriyadi dilantik sebagai Pengarah AIAC

Suriyadi dilantik sebagai Pengarah AIAC

BEKAS Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dilantik sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara
Antarabangsa Asia (AIAC), berkuatkuasa pada 1 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),
Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pelantikan bagi sesi 2020 hingga 2022
itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 13 November lalu.

Beliau berkata, pelantikan itu juga
adalah hasil konsultasi pihak Kerajaan dengan Asian-African Legal
Consultative Organization (AALCO).

“Ia selaras dengan AIAC sebagai institusi
antarabangsa yang bebas dan bernaung di bawah AALCO.

“Dengan pelantikan ini saya mengharapkan beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam menerajui AIAC untuk terus
menjadi sebuah pusat timbang tara yang unggul di rantau Asia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suriyadi, 69, merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan pernah juga berkhidmat di Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian (LLB. Hons) dari Universiti Warwick, United Kingdom dan Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, London. -Malaysiapost

Komen