46 ahli sindiket cop palsu, termasuk 27 pegawai imigresen tumpas

46 ahli sindiket cop palsu, termasuk 27 pegawai imigresen tumpas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket pemalsuan cop keluar dan masuk di sempadan utama negara dalam operasi besar-besar lewat petang semalam.

Menurut sumber, sindiket menyalahgunakan cop berkenaan pada ‘pasport terbang’ dan kaunter khas di pintu masuk negara.

Katanya, menerusi pasport terbang, ejen akan mengumpul dokumen perjalanan pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh.

“Ia akan diberikan cop keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan itu disambung.

“Bagaimanapun, hanya pasport saja yang sampai di pejabat Imigresen tanpa kehadiran warga asing terbabit sebagai pengesahan keluar atau masuk seperti mana yang disyaratkan,” katanya.

Seramai 46 individu termasuk 27 pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) ditahan SPRM semalam disyaki terbabit dalam sindiket salah guna cop keluar dan masuk di sempadan negara.

Individu terbabit berusia antara 21 hingga 46 tahun ditahan di sekitar Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching menerusi Ops Selat.

Selain 27 pegawai Imigresen, turut ditahan ialah 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah.

Kata sumber itu, kaedah kedua pula ialah kaunter khas atau ‘setting counter’ yang biasa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 membabitkan PATI yang disenarai hitam dan sudah tamat tempoh visa.

“Kaedah kaunter khas ini mengenakan bayaran antara RM500 ke RM6,000 seorang untuk mereka bebas keluar masuk dan pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata, sindiket itu menjalankan aktiviti berkenaan sejak setahun lalu dan SPRM mengesan pembabitan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Aktiviti semakin rancak apabila suspek mengambil peluang terhadap pekerja asing serta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terkandas di negara ini.

“Sindiket ini menerima banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing termasuk PATI yang mahu pulang ke negara asal mereka,” katanya.

Seramai 13 individu termasuk sembilan pegawai Imigresen direman tujuh hari bermula hari ini, di Mahkamah Majistret Johor Bahru, bagi membantu siasatan kes pemalsuan cop sempadan negara.

Turut direman, empat orang yang dipercayai bertindak sebagai ejen membantu kegiatan jenayah terbabit dengan mendapatkan khidmat cop berkenaan bagi warga asing.

Sementara itu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali mengesahkan tangkapan dan menjelaskan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. -Malaysiapost

Komen