Amanah tak sokong Tun M, kekal pendirian bersama PH

Amanah tak sokong Tun M, kekal pendirian bersama PH

PARTI Amanah Negara menafikan ‘cakap-cakap’ kononnya parti itu mengambil arus berbeza dengan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia adalah tindakan berniat jahat memburukkan imej Amanah apatah lagi dengan ‘menyerang’ peribadi presidennya sehingga menyebabkan perpecahan dalam parti itu.

“Pihak yang bertanggungjawab atas naratif ini harus meminta maaf atas usaha memburukkan Amanah ini secara sengaja atau tidak dan sekali gus merosakkan kesatuan dalam Pakatan Harapan (PH) yang merugikan,” katanya dalam Facebook hari ini.

Jelasnya, Amanah sebuah parti yang terasas atas kesedaran prinsip berintegriti dalam perjuangannya.

“Setiap ahli yang secara sukarela memilih untuk bersama Amanah perlu memahami terlebih dahulu bahawa Amanah juga adalah parti yang berpegang kepada kesetiaan perjanjian dengan rakan-rakan komponennya.

“Sedari polemik galas-ganti kepimpinan negara selepas Tun M, Amanah tetap berpegang kepada keputusan awal PH bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) adalah pengganti Tun M tanpa pertikaian.

“Apabila Tun M meletakkan jawatan tanpa konsultasi Majlis Presiden PH, Amanah kekal berpendirian bersama PH dengan menyokong teguh kepimpinan DSAI sebagai Pengerusi PH,” ujarnya.

Mujahid berkata, semua keputusan dalam Majlis Presiden PH dibuat secara kolektif termasuk menyokong usaha-usaha parti berkenaan mengembalikan mandat rakyat pasca pembelotan Langkah Sheraton.

“Tidak timbul soal Amanah membuat langkah dan tindakan terkeluar daripada premis keputusan di Majlis Presiden.

“Amanah telah menegaskan bersama usaha DSAI meyakinkan 222 Ahli Parlimen supaya menyokong majoriti yang kukuh dan kerajaan yang stabil setelah PN (Perikatan Nasional) gagal memenuhinya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan individu seperti ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar atau sesiapa sahaja dari ahli Amanah bukan sebagai respon kepada ‘kekecewaan sikap parti Amanah terhadap DSAI.’

Katanya, ADUN Meru tidak wajar membayangkan demikian walau sekelumit pun kerana hakikatnya tindakan beliau tersebut adalah atas pilihan dan masalahnya dan tidak ada kena mengena dengan fitnah keretakan kepercayaan Amanah terhadap kepimpinan DSAI.

“Amanah akan tetap konsisten dengan pendirian setia bersama rakan-rakan seperjuangannya dan mengharapkan kesetiaan ini tidak disia-siakan dengan mengambil ringan soal individu Amanah yang ada kepentingan diri bertukar rumah rakan sesuka hati.

“Marilah kita memelihara kesatuan kita semua untuk mengembalikan mandat rakyat dan tidak diganggu-gugat dengan insiden individu yang suka berpindah-randah tanpa tujuan,” tegasnya.

Semalam, ADUN Meru tersebut membuat keputusan meninggalkan Amanah dan menyertai PKR. -Malaysiapost

Komen