Cadang potong 10 peratus gaji PM, menteri salur ke Tabung Covid-19

Cadang potong 10 peratus gaji PM, menteri salur ke Tabung Covid-19

[PARLIMEN] BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan pemotongan elaun dan yuran sebanyak 50 peratus terhadap Ahli Parlimen yang mempunyai jawatan dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut beliau (PH-Pandan), pemotongan tersebut boleh disalurkan kepada tabungan Covid-19 bagi membantu kerajaan memerangi wabak tersebut.

Katanya, selain itu gaji Ahli Parlimen yang mempunyai jawatan penting juga turut dipotong sebanyak 10 peratus, bagi tujuan tanggungjawab kepimpinan.

“Saya mencadangkan supaya elaun dan yuran pengerusi mana-mana ahli YB yang menjadi pengerusi mana-mana GLC, GLIC dikurangkan sebanyak 50 peratus.

“Pengurangan ini, bukan saja-saja, (tetapi) disalurkan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Tabung Covid-19. Sebab YB-YB ini, telah bergaji pun.

“Dalam masa yang sama, kepemimpinan melalui teladan, (gaji) perdana menteri, menteri kanan, menteri-menteri, dan timbalan menteri, juga dipotong 10 peratus,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, terdapat beberapa cadangan yang sama mahukan pemotongan gaji dan elaun pemimpin politik termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
–Malaysiapost

Komen