Covid-19: 5 kluster baharu, 5 kluster tamat

Covid-19: 5 kluster baharu, 5 kluster tamat

Fitri Nizam

TERDAPAT lima kluster baharu dikesan di Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan hari ini manakala lima kluster lagi diisytiharkan tamat.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Avenue dan Kluster Kejora.

Katanya, Kluster Avenue yang dikesan di daerah Penampang mencatatkan jumlah kes tertinggi apabila merekodkan sebanyak 106 kes selepas saringan dilaksanakan terhadap 246 individu.

Manakala, Kluster Kejora yang membabitkan daerah Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak enam kes.

“Di daerah Kepong, Kuala Lumpur pula terdapat satu kluster baharu dikesan iaitu Kluster Kasah dengan 19 kes baharu membabitkan pekerja syarikat keselamatan yang kesemuanya bukan warganegara.

“Selain itu, di daerah Timur Laut, Pulau Pinang pula terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Summer yang setakat ini sudah menjangkiti 11 individu termasuk tiga kes yang dikesan hari ini.

“Di daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah, Kelantan terdapat satu kluster baharu dikesan iaitu Kluster Mengketil yang setakat ini sudah menjangkiti 24 individu termasuk 12 kes yang dikesan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham turut mengumumkan lima kluster yang diisytiharkan tamat iaitu Kluster Bangau-Bangau (Sabah), Kluster Tasik (Selangor/Sarawak), Kluster Olive (Selangor/Sabah), Kluster Buang Sayang (Sabah/Kuala Lumpur/Negeri Sembilan) dan Kluster Kau Sing (Sabah). – Malaysiapost

Komen