Dewan rakyat zahirkan takziah pemergian Hasbullah

[PARLIMEN] DEWAN Rakyat hari ini memulakan persidangan dengan menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan yang besar kepada negara.

“Dengan perasaan amat dukacita dan sedih, Ahli Parlimen Gerik telah kembali ke Rahmatullah semalam. Sesungguhnya pemergian Allahyarham satu kehilangan yang besar buat negara.

“Saya bagi pihak ahli dewan ini dan Parlimen keseluruhannya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham khususnya Datin Rosmawati Ariffin dan Datin Zaini Abu Bakar, isteri Allahyarham serta seluruh keluarga,” katanya.

Azhar Azizan berkata, Hasbullah adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan aktif dengan urusan Parlimen.

Tambah beliau, Allahyarham juga adalah Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sesungguhnya jasa Allahyarham amat besar kepada negara,” katanya sebelum meminta semua Ahli Parlimen berdiri dan bertafakur selama seminit.

Terdahulu, Allahyarham Hasbullah meninggal dunia di Raub, Pahang petang semalam kerana sakit jantung.

Menurut laporan, Allahyarham tidak sedarkan diri susulan serangan jantung ketika berada dalam kereta ketika berada di kampung isterinya di Raub, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Allahyarham berumur 63 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Raub, Pahang. – Malaysiapost

Komen