Jenayah meningkat kerana Covid-19, tidak benar – Polis

Jenayah meningkat kerana Covid-19, tidak benar – Polis

KENYATAAN bahawa kes jenayah di negara ini semakin meningkat kerana ramai individu hilang pekerjaan ketika pandemik Covid-19 adalah tidak benar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata sebaliknya, statistik Januari hingga 15 November lalu menunjukkan kes jenayah di negara ini menurun 23 peratus.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum wujud kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlaku peningkatan kes jenayah akibat Covid-19 memandangkan ramai orang akan hilang pekerjaan.

“Masyarakat menjadi bertambah gusar apabila wujud perkongsian yang ditularkan individu menerusi satu video di platform media sosial.

“Untuk makluman, kes jenayah dilaporkan pada 1 Januari hingga 15 November adalah 56,117 kes iaitu menurun 23 peratus berbanding 72,836 dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi jenayah ragut pula sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 November berbanding tempoh sama yang mencatatkan 2,216 kes.

“Ini menunjukkan penurunan 1,056 kes iaitu 47,65 peratus dan 527 suspek ditahan kerana terbabit jenayah ragut.

“Dalam tempoh sama tahun lalu, seramai 893 individu ditahan kerana melakukan jenayah itu,” katanya.

Beliau berkata, berpandukan statistik dakwaan kes jenayah di Malaysia meningkat disebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan adalah tidak benar.

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, pihak polis sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan lebih komprehensif.

“Polis juga mengingatkan orang awam tidak sewenang-wenannya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah berkenaan trend jenayah yang tidak disokong fakta sahih daripda pihak berkuasa,” katanya. -Malaysiapost

Komen