Muhyiddin masih boleh jadi PM atau tak? – Kit Siang

Muhyiddin masih boleh jadi PM atau tak? – Kit Siang

AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai Perdana Menteri (PM) ke lapan atau akan menjadi PM dengan penggal terpendek dalam sejarah negara.

Memetik tulisan di Malaysiakini, Kit Siang berkata Muhyiddin tidak lagi akan bergelar PM pada Khamis depan jika Belanjawan 2021 ini dikalahkan dalam bacaan kedua di Parlimen, yang dijangkakan akan diundi pada 25 November.

“Namun, dia kelihatan seperti tidak melakukan apa-apa untuk memastikan Belanjawan 2021 ini akan diluluskan.

“..Walaupun para ahli p arlimen pembangkang sentiasa beringat kepada nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang menggesa supaya semua rakyat Malaysia menunjukkan perpaduan untuk memastikan Belanjawan 2021 ini dapat diluluskan dalam semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Pemimpin Veteran DAP itu juga mengakui ragu-ragu memandangkan Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang biasa dalam waktu yang luar biasa, sedangkan ia sepatutnya menjadi sebuah belanjawan luar biasa untuk waktu yang luar biasa.

Katanya, juga kelihatan seakan-akan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sedang mengambil kesempatan ke atas keadaan semasa yang luar biasa dan nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk cuba mendapatkan satu cek kosong daripada ahli-ahli Parlimen.

Tambah Kit Siang, sedangkan sepatutnya Zafrul menggunakan peluang ini untuk mencipta sejarah dengan membentuk sebuah Belanjawan Perpaduan 2021, sebuah belanjawan yang luar biasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak untuk satu waktu yang luar biasa.

“Di sebaliknya, apa yang kita dapati adalah Belanjawan 2021 yang cuba untuk menyeludup sejumlah besar RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Seperti yang telah didedahkan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, Jasa telah beroperasi dengan belanjawan tersorok di bawah pemerintahan Najib dengan hampir RM80 juta setiap tahun, mengelakkan penelitian awam dan semak imbang Parlimen.

“Mengapakah mantan ketua pengarah Jasa, Datuk Mohd Puad Zarkashi terus mendiamkan diri?

“Saya tidak fikir yang Tengku Zafrul tahu apa itu Jasa dan operasi-operasi rahsianya, dan melainkan terdapatnya arahan khusus daripada perdana menteri supaya peruntukan rahsia ini dibuang, tidak akan ada sebarang pindaan terhadap Belanjawan 2021,” ujarnya lagi

Kit Siang berkata, Belanjawan 2021 seharusnya menjadi sebuah belanjawan yang luar biasa untuk menyatukan semua rakyat, bukanlah sebuah belanjawan biasa dengan peruntukan rahsia untuk mengelakkan penelitian awam dan semak imbang Parlimen.

Mengulas lanjut, beliau berkata mungkin Muhyiddin sedang diperas dan dihalang daripada membolehkan beliau untuk menjadikan Belanjawan 2021 sebuah belanjawan luar biasa untuk yang bersifat ‘perpaduan’.

“Perkara ini akan menjadi ujian kritikal terhadap perwatakan perdana menteri kelapan Malaysia!,” tutupnya.
-Malaysiapost

Komen