Pakai gelang pink untuk elak keluar kawasan

Pakai gelang pink untuk elak keluar kawasan

Fitri Nizam

PEMAKAIAN gelang pink terhadap pekerja warga asing adalah bagi mengelakkan mereka keluar daripada kawasan tapak pembinaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperjelas isu gambar tular pekerja asing yang memakai gelang pink di tapak pembinaan, beliau berkata, seramai 264 daripada 273 pekerja telah disaring.

Katanya, pekerja itu berada di dalam kawasan tapak bina iaitu rumah kongsi basement 1, 2 dan rumah kongsi tepi sungai.

“Mereka diberikan gelang pink kerana bukan warganegara untuk mengelakkan daripada keluar dari tapak bina. Tetapi mereka masih boleh bergerak didalam tapak bina kerana ia saringan surveillance bukan saringan kontak rapat.

“Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak bina.

“Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pemaju juga dinasihatkan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi.

“Pada 13 sehingga 15 November, pemaju telah memberhentikan operasi buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyahcemar sehingga keputusan saringan diperolehi.

“Arahan pelepasan dan pemotongan gelang pink telah dilakukan pada 15 November jam 11 pagi di tapak bina berkenaan. Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak bina, tetapi menetap di luar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat lapan kontak rapat telah dikuarantinkan untuk tempoh 14 hari.

“Kesemua pekerja yang lain adalah negatif dan telah diberikan pelepasan pada 15 November kecuali lapan orang kontak rapat kepada kes positif masih menjalani tempoh kuarantin,” katanya. – Malaysiapost

Komen