Penjualan tanah DBKL perlu telus, ambil kira SOP komprehensif

Penjualan tanah DBKL perlu telus, ambil kira SOP komprehensif

Nurul Huda Abhar

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan urusan penjualan dan pelupusan tanah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dijalankan secara telus, terbuka dan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) komprehensif.

Pengerusinya, Wong Kah Who berkata,
ia termasuklah bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan proses kerja berkaitan.

”KWP dan DBKL perlu mengkaji semula Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dengan mengambil kira perubahan daripada draf asal.

“Ini kerana dalam tempoh masa antara draf pelan dan pelan yang telah diwartakan, lebih 200 DO telah dikeluarkan secara khusus mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersil dan penambah kepadatan (density) termasuk plot ratio,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kah Who berkata, kerajaan perlu mengkaji semula fungsi dan kesesuaian Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selari dengan hasrat penubuhannya bagi melindungi kebajikan warga kota Kuala Lumpur.

Ini kerana, katanya, struktur dan amalan YWP yang sedia ada tidak membolehkan penglibatan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah tanpa kewujudan konflik kepentingan.

“Status YWP hendaklah diubah menjadi sebuah badan berkanun bagi membolehkan pemantauan yang lebih efektif oleh pihak Kerajaan,” ujarnya. -Malaysiapost

Komen