PM ucap takziah kepada keluarga Ketua Pengarang Sinar Harian

PM ucap takziah kepada keluarga Ketua Pengarang Sinar Harian

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin yang kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Muhyiddin berkata, beliau secara peribadi mengenali Baharom sejak Allahyarham bertugas sebagai Ketua Pengarang Kosmo.

“Allahyarham merupakan seorang individu yang mudah didekati dan terkenal dengan sikapnya yang komited terhadap profesion sebagai pengamal media.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang dan semoga tabah menghadapi ujian yang amat getir ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan industri media di dalam negara.

“Allahyarham akan sentiasa diingati sebagai seorang yang merendah diri, lembut berbicara dan senang untuk bekerjasama.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pagi tadi.

Difahamkan, Allahyarham dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke PPUM dua minggu lalu selepas sering mengadu di bahagian perut.

Allahyarham yang mula bertugas di Sinar Harian pada 1 April tahun lalu meninggalkan seorang balu dan dua anak.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bilal Bin Rabbah, Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinan, Taman Batu Muda untuk disemadikan. -Malaysiapost

Komen