Umno, PAS Selangor capai kata sepakat hadapi PRU-15

Umno, PAS Selangor capai kata sepakat hadapi PRU-15

Muhammad Mustakim Ramli

UMNO dan PAS sudah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata prinsip yang dipegang kedua-dua parti itu ketika ini jelas iaitu tidak akan bertembung di mana-mana kerusi.

“Di mana ada kerusi Umno, di situ ada kerusi PAS. Contohnya sebegini di Parlimen ada tiga kerusi… PAS ambil Parlimen, dua kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Umno akan ambil dan begitulah sebaliknya.

“Di mana ada Umno di situlah ada PAS. Kita bersama-sama dengan syaratnya kita tidak akan bertembung. Itu yang kita persetujui setakat hari ini. Urusan kerusi kita dengan PAS di Selangor ini sudah selesai,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata sekiranya Bersatu tiba-tiba muncul beliau tidak pasti mengenai kedudukan kerusi-kerusi yang dipersetujui antara Umno dan PAS berkenaan.

“Tetapi setakat ini kita Umno tidak bersama dia (Bersatu). Kalau terpaksa bertembung maka bertembunglah. Bagi kita, kita (Umno) bertembung dengan Bersatu ok tetapi jangan bertembung dengan PAS.

“Sebab kita dan PAS dah ada MoU dalam MN (Muafakat Nasional). Jadi kalau PAS tak nak bertembung dengan Bersatu di kerusi itu, maka kita akan ambil kerusi itu,” katanya.

Beliau juga melahirkan keyakinan Umno dan PAS mampu merampas semula Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan.

“Dari segi Parlimen kita ada 14 dari 22 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu lebih 50 peratus. Kemudian peringkat DUN daripada 56 kerusi kita ada 36 kerusi majoritinya lebih 50 peratus adalah Melayu.

“Jika kita bertanding Melayu ‘solid’ bersama penyokong Umno, PAS ini serta pengundi Melayu ini bersatu di 36 kerusi itu, Insyallah kita boleh tubuh kerajaan,”katanya.
-Malaysiapost

Komen