Usul permohonan maaf isu ‘takut mati’ ditolak

Usul permohonan maaf isu ‘takut mati’ ditolak

[PARLIMEN] DEWAN Rakyat hari ini menolak usul untuk mempertimbangkan semula keputusan permohonan maaf terhadap kenyataan seorang Ahli Parlimen bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘takut mati’.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul dikemukakan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) itu ditolak bukan disebabkan merit, sebaliknya bersandarkan prosedur.

Menurut Azhar, mengikut Peraturan Mesyuarat 43, beliau menyatakan speaker tidak mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat di Dewan Rakyat.

“Kuasa untuk buat begitu atau kaji semula keputusan yang dibuat speaker atau timbalan ialah Majlis Mesyuarat, bukan kuasa saya.

“Itu sebab saya tolak usul anda, ia masalah teknikal, bukan merit,” katanya sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer dalam sidang Dewan Rakyat berkata, beliau menerima keputusan Azhar menolak usul itu yang dimaklumkan menerusi surat tetapi membangkitkan Peraturan Mesyuarat 14 terhadap isu tersebut.

Menurut beliau, ia disebabkan dakwaan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) sebelum ini bahawa Dr Noor Hisham tidak melawat Sabah ketika Covid-19 adalah mengelirukan Dewan.

Katanya, ini kerana Dr Noor Hisham menjelaskan beliau dan timbalannya ada melawat Sabah meninjau persediaan menghadapi Covid-19 di negeri itu sambil meminta King Sing dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Sementara itu, Azhar bagaimanapun menjelaskan beliau tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kekeliruan fakta dalam isu itu dan meminta Rayer menghantar surat kepadanya berhubung isu yang ditimbulkan itu.

Terdahulu, Rayer mendesak King Sing memohon maaf kepada Dr Noor Hisham, mencetuskan kekecohan sehingga Rayer diarah keluar dewan oleh Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sehari selepas itu, seorang lagi Ahli Parlimen, Lim Lip Eng, digantung daripada Parlimen selama lima hari, selepas mempertikaikan keputusan Timbalan Speaker terbabit. -Malaysiapost

Komen