2 PKPD di Pulau Pinang, 3 di Sabah dilanjutkan

2 PKPD di Pulau Pinang, 3 di Sabah dilanjutkan

Fitri Nizam

KERAJAAN mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Perai, Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai Pulau Pinang, Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan Dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelanjutan PKPD itu adalah berdasarkan nasihat dan penilaian risiko yang dilaksakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi terbabit.

Menurutnya, di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai Pulau Pinang jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan adalah sebanyak 557 kes.

Sementara, terdapat 75 ujian saringan dalam kalangan banduan, staf dan keluarga yang masih menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang selama 14 hari lagi bermula esok sehingga 2 Disember depan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, di Sabah pula, PKPD di tiga lokasi terbabit dijadualkan berakhir esok.

Katanya, di PTS Tawau, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,740 saringan dan sehingga semalam masih terdapat 137 kes aktif direkodkan manakala 924 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.

“Bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, KKM telah membuat sebanyak 1,743 saringan dan sehingga semalam masih terdapat 141 kes aktif direkodkan manakala 203 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.

“Secara keseluruhannya jumlah kes aktif dan bilangan sampel saringan yang belum mendapat keputusan bagi lokaliti lokaliti ini masih lagi tinggi.

“Justeru, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di PTS Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan selama 14 hari lagi bermula 20 November hingga 3 Disember,” katanya. -Malaysiapost

Komen