8 kluster baharu dikesan hari ini

8 kluster baharu dikesan hari ini

LAPAN kluster baharu dikesan hari ini, iaitu tiga kluster membabitkan daerah di Sabah serta masing-masing satu kluster di sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster pertama di Sabah dikesan di Lahad Datu yang dinamakan sebagai Kluster Sabaru dan kini sudah menjangkiti 88 individu termasuk 70 kes baharu hari ini.

Bagi kluster kedua, dikesan di Ranau yang dikenali sebagai Kluster Tomher dan sehingga kini sudah menjangkiti 20 individu dan kluster ketiga pula adalah di Tawau iaitu Kluster Garden yang sudah menjangkiti 11 individu.

“Kluster keempat ia dikesan di Putrajaya, Petaling dan Sepang yang dikenali sebagai Kluster Putra-18 dan sudah menjangkiti tujuh individu termasuk tiga kes baharu hari ini.

“Kluster kelima pula dikesan di daerah Cheras, Kepong dan Petaling yang dikenali sebagai Kluster Murni. Kluster ini sudah menjangkiti tujuh individu termasuk lima kes hari ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kluster keenam dikenali sebagai Kluster Pasir yang dikesan di daerah Timur Laut di Pulau Pinang yang kini sudah menjangkiti 11 individu.

“Kluster seterusnya dikenali sebagai Kluster Besi Demak yang dikesan di Kuching, Sarawak yang kini sudah menjangkiti lima individu dan kluster terakhir dikenali sebagai Kluster Parit Kassan dan ia dikesan di Tangkak, Johor dan Melaka Tengah di Melaka.

“Kluster ini sudah menjangkiti 11 individu termasuk kes baharu hari ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen