Agong isytihar darurat di Batu Sapi

Agong isytihar darurat di Batu Sapi

[KEMASKINI] YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat terhadap kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah, sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Seri Paduka bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selama sejam di Istana Negara, mulai jam 4 petang tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, mengumumkan perintah itu dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong selepas menerusi kenyataan Istana Negara, petang ini.

“Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan Pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-16 yang diadakan pada 26 September, 2020.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari PRU Negeri Sabah ke-16 yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat jelata berdisplin memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak berkuasa membendung
wabak ini demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada para wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan
berkesan dan diakhiri dengan segera. -Malaysiapost

Komen