Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga ADUN Bugaya

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga ADUN Bugaya

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga ADUN Bugaya, Datin Manis Muka Mohd Dara yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi Facebooknya berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan berharap seluruh keluarga Allahyarhamah sabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarhamah kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” kata kenyataan itu.

Manis Muka, 65, yang memenangi kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 September lalu, meninggal dunia pada jam 1.36 tengah hari, semalam, di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

Allahyarhamah adalah Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) Semporna dan aktif dalam politik sejak 1985.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Semporna, sebelum menyertai Warisan. -Malaysiapost

Komen