Apa tindakan kerajaan terhadap Jho Low? – Gobind Singh

Apa tindakan kerajaan terhadap Jho Low? – Gobind Singh

[PARLIMEN] AHLI Parlimen DAP hari ini mempersoal tindakan kerajaan dalam membawa pulang ahli perniagaan Low Taek Jow atau Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Gobind Singh Deo (PH- Petaling Jaya), berkata dalam situasi sukar ketika ini adalah penting untuk kerajaan membawa pulang kembali harta dan wang negara yang dilarikan oleh individu berkenaan.

“Apakah tindakan diambil kerajaan untuk bawa balik duit yang dilesapkan, bagaimana usaha kita untuk pastikan dia kembali ke Malaysia.

“Ambil tindakan jika ada kesalahan…bagaimana dengan harta-harta yang dia lesapkan.

“Kerajaan kita diam, setakat ada ketua polis negara yang berkata pulanglah,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Jho Low mendakwa telah mencapai persetujuan untuk menjual asetnya dan menyelesaikan tuntutan mahkamah 1MDB dengan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tetapi pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak tidak mahu mendedahkan dokumen yang boleh membabitkan dirinya.

Sehari selepas serbuan di hartanah yang berkaitan dengan Najib berikutan Pilihan Raya Umum Mei 2018, Low memulakan komunikasi dengan kerajaan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rakaman tersebut kini didedahkan oleh Al Jazeera dalam dokumentari “Hunt for a fugitive”.

Low, dalam rakaman audio bocor yang dibuat antara Mei dan November 2018, juga ingin menunjukkan bahawa tanggungjawab dana 1MDB yang lesap terletak di tempat lain dan mendakwa bahawa sebelum pilihan raya Amerika Syarikat, dia telah berada di ambang perjanjian dengan kerajaan AS.

“Pada dasarnya saya setuju untuk menyerahkan semua aset, AS menjualnya dan wang akan digunakan untuk membayar balik bon dolar AS secara langsung.

“AS tidak mempercayai kerajaan Malaysia sehingga mereka mengatakan mereka tidak akan memulangkan kembali wang itu,” dakwa Low.

Sementara itu, Gobind turut mempersoalkan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan kepada Jabatan Peguam Negara dalam Belanjawan 2021.

Sedangkan ia merupakan badan penting dalam negara yang memainkan proses perundangan termasuk pendakwaan terhadap bekas perdana menteri dalam skandal 1MDB. -Malaysiapost

Komen