Aplikasi ‘Muslim Pro’: ABIM gesa KKMM bertindak, lindungi privasi rakyat Malaysia

Aplikasi ‘Muslim Pro’: ABIM gesa KKMM bertindak, lindungi privasi rakyat Malaysia

Kerajaan perlu bertindak segera terhadap isu pembelian aplikasi popular Muslim yang didakwa dibeli tentera Amerika Syarikat (AS), demi menjamin hak privasi rakyat Malaysia serta kepentingan kedaulatan negara.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata Business Insider melaporkan tentera AS telah membeli data lokasi dari beberapa aplikasi popular Muslim atas alasan untuk menjejaki pengguna untuk agenda ‘counterterrorism’.

Beliau berkata, laporan tersebut menyatakan bahawa antara aplikasi yang dibeli termasuklah ‘Muslim Pro’ yang telah melibatkan 98 juta pengguna yang memuat turunnya di seluruh dunia.

Katanya, pihak ABIM menegaskan pembelian data lokasi tentera AS ini bukan hanya memberi kesan kepada umat Islam di Amerika, tetapi juga melanggar hak privasi rakyat Malaysia yang mengguna pakai aplikasi ini.

“Menurut laporan New Straits Times pada 2018, Malaysia adalah pada kedudukan lima tertinggi untuk pasaran Muslim Pro dengan rekod sekurang-kurangnya memiliki 12 juta pengguna aktif setiap bulan.

“Walaupun (aplikasi) Muslim Pro telah mengeluarkan kenyataan cuba menyakinkan para pengguna Muslim bahawa data peribadi mereka terpelihara.

“Namun, ABIM tetap menggesa semua pihak yang membangunkan serta menguruskan apa-apa aplikasi yang terlibat untuk sama sekali tidak berkompromi dalam mempertahankan hak privasi rakyat Malaysia daripada dibocorkan, dijual dan dimanipulasi oleh mana-mana pihak luar yang sudah pasti akan turut akan menjejaskan kedaulatan negara.

“Kita seharusnya mengambil iktibar dari skandal Facebook-Cambridge Analytica yang mana data-data peribadi para pengguna aplikasi media sosial popular ini telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, ABIM ingin menegaskan bahawa hak privasi warganegara Malaysia adalah satu hak yang dijamin oleh undang-undang negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu bertindak.

Semalam, RT.Com melaporkan, Amerika Syarikat menggunakan dua data stream yang berbeza iaitu Babel Street dan X-Mode bagi tujuan pengumpulan data lokasi mengunakan Aplikasi Muslim Pro.

Aplikasi berkenaan yang memiliki hampir 100 juta pengguna didakwa menjual data lokasi kepada AS. -Malaysiapost

Foto Kredit: Detik Inet

Komen