Banjir di Terengganu, 2 pusat pemindahan dibuka

Banjir di Terengganu, 2 pusat pemindahan dibuka

SETIU menjadi daerah pertama di Terengganu membuka pusat pemindahan sementara (PPS) apabila Felda Chalok Barat dan Kampung Bukit Nyior, Pelong dinaiki air, sejak malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, PPS pertama dibuka sejak jam 11 malam di Surau Kampung Bukit Nyior, Pelong.

Katanya, seramai 37 mangsa banjir dari sepuluh keluarga dipindahkan ke situ selepas rumah mereka mula dinaiki air.

“PPS kedua dibuka sejak jam 11.30 malam tadi di balai raya Kampung Sungai Lerek.

“Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan adalah seramai tujuh orang terdiri dari satu keluarga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mohd Nizu berkata, berdasarkan keadaan cuaca semasa yang masih hujan, pihaknya menjangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan ke PPS secara berperingkat.

Katanya, cuaca masih hujan di Setiu dan keadaan hujan dipantau rapi.

“Kita nasihatkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan keluarga dengan segera berpindah jika kediaman mereka mula dinaiki air,” katanya.

Beliau berkata, stesen Kampung Seri Kenangan mendapati jalan Pengkalan Merbau ke Pelong dinaiki air pada paras satu meter pada jam 7.30 pagi ini.

“Laluan itu ditutup kepada semua kenderaan dan pengguna jalan diminta menggunakan laluan alternatif yang lain,” katanya. -Malaysiapost

Komen