Budak lima tahun dikhuatiri lemas jatuh longkang

Budak lima tahun dikhuatiri lemas jatuh longkang

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikhuatiri lemas apabila terjatuh dalam longkang besar di Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kanak-kanak warga Myanmar itu pada jam 5.37 petang tadi.

Susulan itu, katanya, seramai 15 anggota bersama beberapa jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari mangsa.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan ada seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di lokasi berkenaan.

“Difahamkan, mangsa terjatuh dalam longkang berkenaan sebelum dihanyutkan arus,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Muhammad Hazrin berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan lokasi kanak-kanak terbabit.

“Pasukan sokongan skuba turut berada di lokasi bagi membantu operasi SAR yang sedang dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

sekadar gambar hiasan

Komen