Cop palsu: Pegawai Imigresen ditamatkan perkhidmatan jika bersalah

Cop palsu: Pegawai Imigresen ditamatkan perkhidmatan jika bersalah

PEGAWAI Jabatan Imigresen (JIM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini, kemungkinan berdepan tindakan ditamatkan perkhidmatan sekiranya didapati bersalah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM susulan penahanan pegawainya itu.

Katanya, Imigresen juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau kakitangannya yang disyaki menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan akta di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Penahanan beberapa pegawai Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan menjejaskan operasi jabatan ini untuk melaksanakan tugas harian serta penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Dalam perkara ini, Imigresen ingin memaklumkan bahawa penahanan mereka adalah hasil kerjasama antara jabatan ini dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperoleh daripada aduan orang ramai.

“Mereka yang terbabit hendaklah bersedia menghadapi tindakan undang-undang yang akhirnya akan dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, SPRM menahan lebih 40 pegawai Imigresen dan orang awam kerana disyaki terbabit dalam kes pemalsuan cop sempadan di Johor dan Selangor.

Sumber dilaporkan berkata, kegiatan itu membabitkan pasport warga asing yang dicop di sempadan biarpun pemilik dokumen tidak keluar daripada negara ini.

Tahanan reman terhadap pegawai Imigresen dan orang awam itu dikemukakan di beberapa tempat iaitu di Putrajaya seramai 23 direman, diikuti Johor (13); Shah Alam (4); Sabah (3) dan Sarawak (1).

Kakitangan Imigresen yang ditahan itu berkhidmat di Ibu Pejabat serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); klia2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru. -Malaysiapost

Komen