Covid-19: 660 kes baharu, 4 kematian direkodkan hari ini

Covid-19: 660 kes baharu, 4 kematian direkodkan hari ini

JUMLAH KES baharu positif Covid-19 kembali kepada tiga angka hari ini dengan 660 kes direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kes positif di Malaysia sebanyak 50,390 kes dengan kes aktif sebanyak 12,814 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes positif tertinggi dengan 387 kes direkodkan manakala negeri di Lembah Klang menunjukkan penurunan apabila hanya 173 kes direkodkan.

“Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, hanya empat kes membabitkan kes import dari Turki, India dan Arab Saudi.

“Sehingga kini, terdapat 103 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 41 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, empat kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 322 kes.

Katanya, pesakit yang meninggal dunia masing-masing seorang lelaki dan tiga wanita berusia 59 hingga 80 tahun.

“Jumlah kes pulih hari ini sebanyak 630 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 37,254 kes,” katanya. – Malaysiapost

Komen