Dituduh salah guna kuasa, Eizlan saman Han Isaac

Dituduh salah guna kuasa, Eizlan saman Han Isaac

PELAKON, Datuk Seri Eizlan Yusof hari ini memaklumkan beliau akan mengambil tindakan saman ke atas bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac.

Eizlan berkata, tindakan itu diambil susulan tuduhan yang dilemparkan Hans Isaac yang mengaitkan pembabitannya dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd.

Beliau turut menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas itu yang turut mencemarkan nama, imej dan reputasinya.

“Dakwaan kononnya saya ada penglibatan dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd tidak berasas.

“Untuk makluman, syarikat tersebut tiada sebarang kaitan dengan saya sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang sahamnya. Syarikat tersebut dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak FINAS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eizlan berkata, beliau dakwaan palsu yang tular itu dalam waktu sama turut menganggu fokusnya dan mengakui turut menerima tekanan daripada pelbagai pihak sehingga menjejaskan karier dan perniagaan yang diusahakan.

“Tuduhan tersebut dibuat pada 16 November lalu melalui kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mempunyai ahli melebihi 200 orang dalam kumpulan Whatsapp tersebut.

“Imej dan reputasi saya telah terkesan akibat dusta tersebut, khasnya saya selaku Ahli Perbadanan FINAS dan kredibiliti saya selaku penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung selama lebih daripada 20 tahun serta dikenali masyarakat dan industri perfileman negara,” katanya.

Eizlan yang juga ahli Lembaga Pengarah FINAS berkata, dia telah melantik peguamcara, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co dan tindakan guaman terhadap Hans Isaac sedang berjalan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

Komen