FAM nafi Harimau Malaya tarik diri

FAM nafi Harimau Malaya tarik diri

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan skuad Harimau Malaya menarik diri daripada meneruskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta tidak menyertai Piala Suzuki AFF.

Ia susulan portal bola sepak dari Kemboja mendakwa keputusan itu dibuat selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menarik diri daripada saingan AFC Champions League (ACL) disebabkan oleh larangan kerajaan yang tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan laporan itu tidak benar dan Harimau Malaya tidak mempunyai perancangan untuk menarik diri daripada pertandingan itu.

“Kami di FAM tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik diri daripada mana-mana pertandingan yang dinyatakan itu,” katanya.

Tahun ini, sepatutnya kem latihan pusat diadakan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia pada 22 November 2020. Namun ia tidak berlaku setelah MFL membuat keputusan untuk membatalkan pertandingan Piala Malaysia kerana tidak dapat kelulusan daripada kerajaan.

Setelah mengharungi 5 perlawanan, Malaysia kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan G dengan 9 mata dan masih berpeluang untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2023 serta pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Berdasarkan kemaskini jadual terbaharu pusingan kelayakan ke-2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 zon Asia, skuad Harimau Malaya akan bertemu UAE pada bulan Mac 2021.

Selepas tamat pusingan ke-2 itu, semua 12 pasukan yang layak ke pusingan akhir kelayakan zon Asia akan memulakan perlawanan pada bulan September 2021 dan semua perlawanan pusingan akhir ini akan tamat pada hujung bulan Mac 2022. -Malaysiapost

Komen