Kerajaan disaran guna rizab KWSP bantu rakyat

Kerajaan disaran guna rizab KWSP bantu rakyat

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] KERAJAAN boleh mengarahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyalurkan sebahagian rizab berjumlah RM400 bilion bagi membantu rakyat.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun), berkata kerajaan dilihat gagal apabila rakyat merayu untuk mengeluarkan wang caruman KWSP masing-masing kerana terkesan dengan situasi terkini yang melanda negara.

“Rakyat tiada pilihan, rakyat terdesak hingga terpaksa melihat wang di hari tua itu sebagai penyelamat hari ini.

“Sepatutnya kerajaan boleh mengarahkan KWSP untuk menyalurkan sebahagian daripada rizab berjumlah RM400 bilion untuk digunakan kerajaan bagi manfaat rakyat.

“Malah rizab Bank Negara sendiri juga sepatutnya boleh digunakan oleh kerajaan untuk tujuan yang sama,” katanya pada perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mukhriz berkata dana-dana itu wajar digunakan untuk menyelamatkan rakyat yang sengsara kerana situasi yang dialami ketika ini adalah sangat teruk.

“Sekalipun dana ini tidak boleh disentuh langsung maka kerajaan sewajarnya mengeluarkan bon yang boleh dibeli oleh dana -dana ini.

“Tidak perlu kerajaan pinjam dari sumber lain sehingga memecah siling pinjaman yang boleh mengacam fiskal negara,” katanya. -Malaysiapoist

Komen